Tuesday, July 10

Jangan Tangisi Apa Yang Bukan Milikkmu

Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita seringkali berasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas dari genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima..dan akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan.

Hidup ini ibarat sebuah belantara. Tempat kita mengejar segala keinginan dan sememangnya manusia diciptakan-Nya mempunyai kehendak dan keinginan. Namun, tidak semua yang kita inginkan akan tercapai, tidak setiap yang kita idamkan mampu menjadi realiti. Dan, bukan sesuatu yang mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi. Ramai orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: mesti berjaya, mesti bahagia atau yang lainnya. Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa bahawa segalanya adalah pemberian Allah yang Maha Pemurah sehingga kejayaan itu membuatnya sombong dan bertindak mengikut nasfsunya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, pasti akan Allah tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan mungkin kita miliki, walaupun ia mungkin telah menghampiri kita, walaupun kita telah bermati-matian mengusahakannya. Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah, malapetaka, dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan dari Allah terhadap dirinya. Oleh itu, bila seorang mukmin merasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati.

Seorang mukmin adalah selalu mengingat Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun dengan membaca Al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.

Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri – andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri! Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah. Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah SWT, ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas!

Kita menerima semuanya dengan senyum yang mengembang, dengan redha yang tidak terhitung. Hidupnya hanya untuk-Nya. DIA-lah tujuan hidup, sebaik-baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya adalah wasilah, alat, bekal, modal untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Maka, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan milikmu! Maka, bersihkan hatimu, ikhlaslah...redha dengan ketentuan-Nya. Kerana, kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya..InsyaAllah.

p/s : Ini bukan tulisan saya..saya copy dari satu artikel kat internet..just for info..:)

1 comment:

Mala said...

Syahdu den membaco nya.

Lilypie Next Birthday Ticker