Jika anda rajin membuka kitab fikah lama, atau dipanggil orang kitab klasik atau kitab kuning, anda mungkin menemui bahawa dalam bab zakat, seseorang yang mahu menunaikan zakat hendaklah terlebih dahulu menjelaskan hutang-piutangnya. Ini kerana, selagi mana seseorang itu masih berhutang dengan seseorang yang lain, maka dia dianggap tidak kaya, kerana hutangnya. Masakan dia kaya, kerana orang kaya tidak berkehendakkan kepada hutang lagi.
Justeru itulah, terkadang-kala hari ini masih ada lagi orang yang membangkitkan isu hutang ini. Mereka mengatakan, kewajipan utama mereka menunaikan hutang terlebih dahulu. Mereka berhujah seperti di atas. Bahkan, ada yang menyatakan zakat dikenakan kepada harta yang berlebih. Masakan berlebih jika berhutang, kerana tidak cukuplah mereka meminjam atau berhutang. Lagi pun, bukankah salah satu asnaf zakat ialah ‘Gharimin’, iaitu orang yang berhutang. Maknanya, mereka yang berhutang sebenarnya layak mendapat zakat dan bukanlah mengeluarkan zakat.
Baiklah, kita bisa memberikan jawapan dalam dua kaedah kepada isu berbangkit ini. Kita menawarkan jawapan dalam bentuk pendapat fuqaha’ dan keduanya berdasarkan akal logik kita sendiri.
Saya mengajak anda para pembaca, untuk melihat kepada hutang dan konteks kekayaan diri. Mengikut Imam as-Syafie di dalam Fiqh al-Manhaji, bahawa keberhutangan seseorang tidaklah menegah orang berkenaan daripada menunaikan zakat, selagi mana kekayaan yang masih didalam kekuasaannya itu mencapai nisab.
Mari kita kupas lebih dalam. Katakan si Ahmad mempunyai hutang sebanyak RM10,000.00. Hutang itu pula ditunaikan secara beransur-ansur melalui potongan gaji. Katakan gaji beliau ialah RM3000.00. Setiap bulan Ahmad membuat pemotongan sebanyak RM150.00. Maknanya, setahun Ahmad membayar hutang sebanyak RM1800.00. Baki pendapatan Ahmad selepas menolak hutang adalah RM2850.00. Andai kita mengandaikan Ahmad menggunakan kaedah pertama dalam kiraan zakat pendapatannya, maka Ahmad mempunyai lebihan kekayaan sebanyak RM2850 x 12 bulan=RM34200.00.
Maka, nilai kekayaan Ahmad yang dikuasainya adalah jauh lebih besar daripada hutangnya, maka di sinilah timbulnya kekayaan kepada Ahmad. Maka, Ahmad wajib berzakat walaupun berhutang.
Ulama’ juga memberikan pandangan bahawa, jika benarlah seseorang itu mempunyai hutang, maka hutangnya tidak menghalang zakat bahkan jika perlu dia boleh menjelaskan dahulu hutangnya dan harta yang berbaki selepas ditolak hutang maka wajib dizakatkan (biar pun nilai hartanya mungkin berkurangan setelah membayar hutang).
Jadi, dalam kes Ahmad di atas, jika masih mahu mengira bahawa hutangnya perlu dilunasi terlebih dahulu, maka tolaklah nilai hutangnya RM10 ribu itu. Nah…jika diambil akan nilai gajinya, Ahmad masih mampu menunaikan zakatnya.
Mari pula kita timbang dengan hujah akal. Saya tidak fikir bahawa pada saat ini tiada orang yang berhutang. Mungkin ada; namun jumlahnya amat minoriti. Mungkin 1% atau paling kuat 5%. Selain daripada itu, kita semua adalah berhutang. Bahkan, sesetengahnya makin nampak mewah makin banyak hutangnya.
Lihatlah, baru sahaja tamat pengajian di universiti atau kolej, kita sudah berhutang sama ada dengan JPA, MARA atau PTPN. Kemudian, berkerja dan membeli kenderaan, hutang lagi. Baharu kerja setahun dah teringin berkahwin, em…silap-silap berhutang lagi dengan Bank Rakyat (personal loan). Kemudian, lepas bernikah teringin nak beli rumah, hutang lagi. Dah ada rumah, nak renovate sikit…hutang lagi. Lastly…please answer me, bila tak ada hutangnya?
Namun, pada masa yang sama kita mampu memiliki kereta sehingga dua biji, rumah dua tingkat yang agak mewah, memiliki perhiasan diri yang agak mahal, makan dan minum agak mewah…namun pada masa yang sama, kita mengisytiharkan diri kita ini tidak layak berzakat atas sebab kita berhutang. Silap-silap hari bulan, kita memohon pula zakat kerana pendapatan kita habis membayar itu dan ini. Patutkah?
Maka, kesimpulannya…hutang bukanlah lagi alasan untuk tidak menunaikan zakat. Bahkan, saya suka mengesyorkan kepada mereka yang berhutang agar lebih segera dan banyak sedikit menunaikan zakat dan bersedekah. Ini kerana, berdasarkan kefahaman terhadap saranan Allah dan rasul, sedekah dan zakatlah antara kaedah mendapatkan keberkatan dalam rezeki. Manalah tahu, selepas dari ini kita pun sudah tidak berhutang lagi…amin
sumber : PZS
No comments:
Post a Comment